Monday, March 23, 2009

Mentee SMK Bako, Tahniah..

Assalamualaikum,

Terkilan juga rasa di hati kerana tidak dapat mengikuti sebahagian besar program Citra Muslimah mentee SMK Bako! Tapi tahniah di atas usaha sulong anak-anak, dan terima kasih kepada Siti Nurbaya (mentor) kerana membimbing dan bersama-sama anak-anak sepanjang program.
Saya percaya kejayaan mengadakan progam sulong ini akan menjida penggerak untuk 'berprogram' seterusnya, insya'Allah. Semakin selalu kita berusaha semakin ringan jadinya..semoga kita istiqamah dalam usaha mendekati NYA!
Tugas utama anak-anak sebagai pelajar adalah belajar, tetapi ingatlah kejayaan yang hakiki tidak terletak kepada pencapaian akademik semata-mata. Walauppun ilmu dan kemahiran adalah penting bagi mengisi peluang-peluang pekerjaan, tetapi sikap, mentaliti dan tingkah laku positif adalah lebih penting supaya kualiti diri kita sendiri menjadi pemangkin ke arah proses kemajuan dan perubahan! Anak-anak muda yang membina kualiti diri hari ini, insya'Allah, mampu menjadi agen perubahan dan kemajuan ummah di masa hadapan!
Akhir nya saya petik kata-kata YBhg. Prof. Dr. Sidek Baba:
"Apabila ilmu teradun dalam tunjangan akidah yang mantap, tegak atas ibadah yang subur, mendahan dan meranting dalam cabang-cabang ilmu yang berkembang, pasti akan lahir akhlak yang terpuji. Sebagai Khalifah ALLAH, melihat ilmu adalah suatu amanah mengenai TUHANnya dan ilmu sebagai sumber menjadikan manusia sebagai hamba yang taat dan patuh"
(Acuan Minda - Prof. Dr. Sidek Baba)

Friday, March 20, 2009

Pengalaman Baru Yang Satu Dalam Seribu...

Assalamualaikum,

Tiga bulan berlalu untuk 2009, tetapi rasanya belum banyak yang dapat dilakukan...bila dibilang jari ini, tinggal 9 bulan lagi untuk dimanfaatkan...
Terima kasih kepada anak-anak yang telah berjaya menjalankan program-program pada 3 bulan pertama ini, tampa kalian rasanya tidak akan kemana-mana diri ini!

Walau bagaimana pun, rasa Syukur yang tidak dapat dinukilkan dengan kata-kata atas rahmatNYa, awal tahun 2009/1430H ini, dapat aku pengalaman baru, yang belum pernah ada kesempatan sebelum ini..aku dapat hadir mendengar kuliah seorang ulama dan paling mengembirakan (dan aku anggap satu kejayaan besar sepanjang mengendalikan program untuk anak-anak remaja/belia) apabila hadir nya Syeikh Muhammad Fuad ke Kem Belia Islam sempena Maulidur Rasul dan menyampaikan kuliah subuh kepada kami di Kem itu! Kuliah subuh pagi itu amat bermakna dan baru aku memahami dengan erti kata yang sebenarnya betapa Rasulullah s.a.w. menyayangi dan memuliakan anak-anak muda...bagaimana pula kita?

Kebangkitan Islam yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. adalah kerana Baginda telah berjaya menghasilkan suatu generasi yang cemerlang berasaskan pembangunan akidah yang mantap, akhlak yang tinggi, ibadahnya yang subur dan pematuhan kepada faktor syarak yang teguh. Membimbing anak-anak muda untuk berjiwa rukuk dan sujud penting supaya jiwa hamba mampu mencegah mereka dari melakukan kemungkaran.

Mengambil daripada tulisan guru yang aku sanjungi, cikgu Sidek Baba, "Roh solat apabila menjadi sandaran dalam kehidupan menyebabkan manusia ingin fokus dalam kerja (khusyuk), mempunyai daya kepimpinan dan kepengikutan yang baik (imam dan makmum), berdiri atas saf-saf yang tersusun rapi (daya saing yang tinggi), terbina jiwa jemaah yang baik (kerja berpasukan) dan mohon keampunan dan barakah dari-NYA (muhasabah dan natijah kerja yang berkualiti)".

Aku benar-benar mengharapkan segala susunan program yang dijalankan (dan terima kasih kepada anak-anak yang membantu mengatur modul, Naim, Shams dan Khairul serta mentor dan fasilitator yang tetap membantu)dapat membantu anak-anak peserta program kearah kebaikkan dan dapat menjana jiwa mereka dengan kekuatan Islam agar mampu memberi mereka erti hidup dan perjuangan, erti maruah dan keberanian, erti perubahan dan kemajuan dan mampu mengolah kemajuan dalam landasan Islam.

Moga tidak diri ini lalai lalu membiarkan anak-anak berbudaya santai kerana berbudaya santai boleh menjadi penghalang terhadap pertumbuhan ilmu dan intelektualisme. Budaya ilmu tidak akan lahir dan akhirnya budaya santai boleh menyebabkan ketandusan berfikir dan juga kemuflisan daya intelek...maka dimana kita pada tahun 2020? Dapatkah kita membentuk khaira' ummah ketika itu dengan sajian-sajian festival dan pesta yang dihidangkan pada mereka ketika ini?

Harapan ku agar permulaan yang baik pada 2009/1430H ini dengan dapat bertemu seorang ulama akan berterusan dikurniakan Allah kebaikkan, insya'Allah. Pengalaman ini amat bermakna bagi diri ku dan pada usia yang lewat ini, aku terasa amat kerdil dengan kurniaan Allah dalam melalui kehidupan ini!

Berdiri ku tidak begitu jauh di belakang Syeikh Fuad ketika bersujud dia membesarkan dan menghormati 'rumah' Allah (di masjid AtTaqwa)hati ku sayu dalam kegembiraan, air mata mengalir dalam kesyukuran...aku bertanya di dalam hati, entah bagaimana pula kalau yang dekat dengan ku itu Baginda Rasulullah? (tetapi aku bertanya jua di dalam hati, layak kah aku berada dekat dengan Baginda? Terlalu kerdil rasa nya diri). Maka faham aku mengapa terlalu sayu dan senang menangis menghadap makam Baginda...

Mendengar kuliah subuh daripada Syeikh Fuad pagi itu, alangkah manisnya kalau usia ku semuda anak-anak remaja! Kerana anak-anak remaja/belia adalah dalam usia ummat yang sangat Rasulullah sayangi dan usia penuh keberkatan, kalau saja anak-anak mengatahui...

Bagi ku sambutan Maulidur Rasul kali ini satu pengalaman yang satu dalam seribu....terima kasih Naim kerana mengatur kedatangan Syeikh Fuad! Kepada Shamsiah, terima kasih kerana senantiasa menjadi teman dan memberikan kekuatan, Khairul di atas hulur fikiran, dan anak-anak yang lain di atas segala sumbangan...semoga tetap dalam Rahmat NYA! Amin.