Monday, October 12, 2009

Nikmat Kesihatan...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana nikmat kesihatan yang dipinjamkan kembali kepada hamba NYA yang amat kerdil ini. Sesungguhnya nikmat kesihatan yang terganggu seketika ditambah dengan tugasan yang agak banyak akhir-akhir ini membataskan waktu kerana perlu beristirehat sebanyak mungkin selepas waktu pejabat! Agak terkilan di hati kerana Ramadhan yang lalu tidak dapat dilakukan ibadah sunat seperti selalu..tetapi Alhamdulillah, ibadah wajib iaitu puasa sebulan dapat ditunaikan! Terima kasih yang tidak terhingga kepada anaknda Shamsiah kerana berkorban dan meluangkan masa datang ke rumah untuk beri kekuatan dan teman solat sunat tarawih dan tadarus! Amat saya hargai nikmat persahabatan yang Allah kurniakan!
Sesungguhnya, banyak pengajaran dan keinsafan yang bertapak di hati bila kesihatan terganggu! Ada penyesalan di hati betapa bila sihat, banyak waktu yang terluang yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk menambahkan sujud syukur di atas segalan rahmat kurniaan NYA! (I can be so engrossed in SUDOKU that 1 hour can be just gone and I would have solved about 10 - 15 SUDOKU puzzle!!!!)
Maaf dipinta kepada teman-teman kerana tidak dapat berziarah dihari kemenangan! Semoga kita sama-sama akan ditemukan Allah dengan Ramadhan yang akan datang, amin. Untuk sisa-sisa yang ada dalam tahun 1430H/2009 ini, saya berdoa agar terus dikurniakan Allah nikmat kesihatan dan insya'Allah, dapat bersama-sama rakan muda BPPMIS menyebarkan program pembangunan remaja/belia Islam di beberapa kawasan yang telah awal dikenal pasti di bumi Kenyalang ini...
Wassalam..

Keluarga Ku Bertambah...

Alhamdulillah....Syawal ini kami raikan dengan 2 ahli keluarga yang baru! Allah kurniakan kami dengan dua muslimah! Khatijah bt. Abdul Majeed baru berusia hampir 3 bulan bila Syawal menjelang...comel cucu ku yang kedua ini, dan cucu perempuan yang pertama! Wah, aku sudah bertaraf nenek....lucu tapi benar! Sungguh ku insafi segala perjalanan hidup ini dan amat ku syukuri nikmat Allah yang tidak henti-henti, walaupun perjalanan hidup ini ku lalui dengan penuh ranjau dan duri....

Kehadiran Noor Adibah bt Othman menambah lagi seorang menantu! Isteri Abdul Muntaqim (Naim) pasti menambah seri keluarga kami terutama sekali keluarga adik ku, Zulkipli dan Khatijah! Semoga kehidupan kami senantiasa dikelilingi anak-anak dan cucu-cucu yang soleh dan solehah...Amin.

Monday, August 10, 2009

PEWARIS Kota Samarahan

Assalamualaikum....

Lama juga tidak berkesempatan menulis...hari-hari bekerja diwarnai dengan pelbagai mesyuarat dan tugasan lain, tetapi hati tetap seronok sebab sekurang-kurangnya masa ini terisi dengan pelbagai pekara yang bermanfaat, insya'Allah! Bila ada program bersama remaja saya jadi suka, sebab tahu akan bertambahlah lagi mereka-mereka yang akan mewarnai pesada dakwah bumi Kenyalang..

Pada 24 hingga 26 Julai lepas, 49 pelajar dari 5 buah sekolah menengah Bahagian Samarahan mengambil bahagian dalam Perkampungan Wawasan Remaja Islam Sarawak (PEWARIS) Siri 2. Bersemangat mereka mengikuti pelbagai aktiviti sepanjang perkampungan dan melihat pada harapan di wajah mereka,saya percaya mereka akan menjadi pewaris penyambung risalah Nabi dimasa depan! Insya'Allah, 3 tahun dari sekarang, nama-nama mereka pasti akan bersama-sama mewarnai program-program latihan untuk remaja-remaja Islam di Kuching dan Kota Samarahan khususnya! Dari pengalaman setahun lebih bersama BPP-MIS, saya melihat apabila diberi ruang dan peluang, anak-anak remaja ini akan menjadi kreatif, proaktif dan penuh tanggung jawab membela agama, bangsa dan nusa!

Tahniah anak-anak PEWARIS Generasi 2 dan terima kasih kepada pengetua dan guru-guru dari SMK Kota Samarahan, SMK Muara Tuang, SMK Pesantren, SMK Asa Jaya, SMK Sadong Hilir di atas sokongan dan kerjasama yang diberi kepada kami. Harapan kami, insya'Allah, anak-anak PEWARIS ini akan bermula dengan berbakti kepada sekolah masing-masing sebagai membalas jasa di atas pendidikan yang diterima!

Kepada Naim,Shams dan Khairul, terima kasih kerana terus sudi meluangkan masa, mengemaskini module, terus bersemangat mendidik dan tidak jemu membantu! Begitu juga anak-anak fasilitator Siti Nurbaya, Bob Syahmeer, dan Hisham, sebab senantiasa sudi bersama! Untuk Ayu (Siti Rohayu) selamat datang ke dalam kumpulan barisan fasilitator BPP-MIS! Terima kasih atas semua "imput"! Kepada barisan fasilitator baru,Erwina,Zaimah, Shazwanie, Seni Julita, Siti Khasumawati,Saufi, Mohd. Kamal,Harith Danial,Shahrulnizam dan Norazam, terima kasih dan teruskan perjuangan serta jangan jemu belajar untuk mempertingkatkan diri dan potensi yang ada!

Pada anak-anak AJK, Mohd. Mahdi, Zarul Faizi, Rizki Resturi Ayu (Ekin), Azsalbiah, Salasiah dan Azimaziah, terima kasih di atas kerjasama dan sokongan semua dan membantu melicinkan perjalanan program! Untuk semua kita jumpa lagi dilain program, insya'Allah!

Akhir kata, dengan datangnya Ramadhan, kita mula berpesta ibadah dan sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kepada Yang Maha Esa!Semoga jasa-jasa anak-anak semua dibalas dengan kebaikkan dan berkekalan dalam Rahmat NYA!

Wassalam.

PEWARIS Generasi ke 2...

Monday, June 22, 2009

Sehari dalam Tautan Ukhuwah SMK Bako..

20 Jun 2009

Program Tautan Ukuwah SMK Bako dirancang dan dikendalikan oleh 8 AJK perempuan (mentee PEWARIS) dan 4 AJK lelaki dari SMK Bako. Barisan fasilitator terdiri dari mentor SMK Bako, Siti Nurbaya dan dibantu oleh Shamsiah dan Faisal. Seramai 40 orang pelajar tingkatan 1 dan 2 hadir.

Program ini disokong sepenuhnya oleh pihak sekolah, dan ini memudahkan perancangan anak-anak AJK mengatur jadual perjalanan program. Memandangkan peserta-peserta program duduk di asrama sekolah, makanan tengahari tidak perlu disediakan berasingan. Bagi fasi dan AJK pula, Zaimah telah menyediakan makan tengahari yang amat menyelerakan..kata Siti Nurbaya, ini disebabkan makanan disediakan dengan penuh kasih sayang....paling best sambal belacan dan ulaman! Saya amat bersetuju dengan Siti, sesuatu yang datang dari hati akan dirasa oleh hati-hati yang lain....Terima kasih (daun keladi) Zaimah..

AJK dari SMK Bako merupakan mentee PEWARIS dan masih baru dalam merancang dan menjalankan program, tetapi kesungguhan mereka untuk terus belajar dan mempertingkatkan diri serta bersama-sama membantu membangun ummah amat dikagumi. Usaha mereka merancang program Tautan Ukuwah/kasih ini patut diberi pujian dan pihak sekolah SMK Bako juga dijadikan contoh kerana memberi sokongan, ruang dan peluang untuk mentee ini membuat program dan aktif berpatisipasi dalam membangun pelajar-pelajar SMK Bako.

Amat terasa di hati mendengar anak-anak peserta menyanyikan lagu tema program PEWARIS, iaitu Satu Perjuangan. Terimbau kembali Kem PEWARIS pertama setahun yang lalu dimana anak-anak AJK adalah peserta dan masih malu, tetapi dengan semangat satu perjuangan dan ukhuwah yang dibina, hari ini untuk kali ke 2 mereka membuat program sendiri. Tidak mustahil anak-anak peserta kali ini akan mengikut langkah kakak-kakak dan abang-abang AJK mereka, maka insya'Allah, bertambah ramai lah penggerak perubahan dan pembangun ummah di masa depan. Dengan itu dapat kita bina generasi ulul albab dan membangun khaira' ummah bila tiba masanya kita menyambut tahun 2020.

Sekalung tahniah Siti Nurbaya kerana berjaya membimbing mentee SMK Bako pada tahap yang amat membanggakan. Syabas sekali lagi pada mentee SMK Bako, semoga langkah-langkah awal yang diambil ini akan terus menyemai rasa cinta pada yang Khaliq dan Baginda Rasulullah, bila tiba masanya nanti, anak-anak akan berbakti kepada ummah di merata tanah air, insya'Allah!

Begitu juga kepada anak-anak mentee SMK Bandar Samariang yang terus aktif dan menunjukkan semangat juang yang tinggi. Anak-anak mentee SMK Santubong, walaupun kumpulan mentee yang paling muda, tetapi dewasa semangat ingin berbakti dan melakukan sesuatu untuk membaiki diri. Tidak mustahil anak-anak semua akan berdiri di barisan hadapan menjadi pembimbing bila dewasa kelak, kalau istiqamah dalam usaha dan perjuangan, insya'Allah!

Kepada pengetua dan guru-guru yang senantiasa memberi sokongan, terima kasih...Jazakallahu khayran khatira semua!
Terima kasih cikgu Che Wan Nor Fazila dan Tahniah Kharemahtun, Sharina, Nur Fatini, Nur Fatin, Ismawati, Hasmatul Idayu, Zarifah, Zulfikar, Abdul Izzat, Mohd Fauzi Ahmad Safiri dan Iman!


Thursday, June 18, 2009

Hari-hari yang penuh makna....

Assalamualaikum,

Dengan membaca Bismillah, Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah swt atas segala taufik dan hidayah-Nya. Selawat dan salam semoga tetap tercurahkan kepada sayyidil anam Muhammad Rasulullah saw yang telah membina akhlak umat ini sehingga dapat menjadi yang mulia. Demikian pula mudah-mudahan Allah berkenan memberikan rahmat kepada semua keluarga beliau, sahabat-sahabatnya dan tabiin serta salafussalihin. Amin.

Sepanjang bulan Mei dan hingga minggu kedua bulan Jun, hari-hari saya, Alhamdulillah, dipenuhi dengan pelbagai program yang merangkumi semua peringkat umur dan lapisan masyarakat, ada rasa penat tetapi tetap terubat bila mana dapat bersama-sama belajar sesuatu yang baru dalam setiap program....mungkin itu juga yang dinamakan bila meningkat usia, meningkat juga lah asam garam kehidupan yang disaksikan....

Banyak juga 'berjalan' keluar Kuching pada bulan Mei lalu...di setiap perjalanan terdetik hati terasa gusar dan cemas mendapat tahu di mana-mana masalah remaja seakan sama dan amat kronik...anak-anak remaja memang dikenali dengan sifat-sifat kenakalan mereka, tetapi zaman ini kenakalan remaja sudah seakan-akan membawa kehakisan bilangan generasi muda yang berkualiti! Rasanya tidak perlu dihuraikan disini satu persatu gejala sosial yang menjular sekarang ini! Sebelum semuanya membawa kehancuran generasi pelapis, perhatian serius perlu diberikan segera oleh pelbagai pihak - orang tua, pendidik, guru, tokoh agama, institusi-institusi pendidikan dan kerajaan - masing-masing harus mempertingkatkan peranan tersendiri dan bersapadu dalam upaya membina dan membentuk generasi muda sebagai angkatan baru yang bertamadun tinggi, berakhlak dan berjiwa mulia.

Walau bagaimana pun disetiap akhhir program rasa gusar terasa terubat jua dengan semangat dan azam yang ditunjukkan anak-anak muda peserta yang ingin terus mengubah langkah, bukan sahaja untuk diri mereka, tetapi sahabat-sahabat yang lain yang tidak berkesempatan ikut serta berprogram. Sesungguhnya terharu melihat keperhatinan dan ingatan mereka kepada teman-teman yang tidak turut serta...saya percaya, jika terus diberi bimbingan dan digilap keupayaan mereka semua, pasti mereka boleh menjadi generasi harapan...betapa di hati ini ingin melihat lebih ramai belia-belia Islam yang boleh ikut serta memberi bimbingan agar dapat bergerak cepat ke seluruh Sarawak..meneroka daerah baru disamping ada yang terus boleh memberi bimbingan kepada mantan peserta-peserta yang sedia ada! Mereka masih terlalu awal diambang perubahan untuk terus dibiarkan begitu sahaja selepas satu program...

Hati juga gembira mendengar khabar ada anak-anak yang mengatur langkah mengambil iniatif membuat program sendiri selepas mengikuti program-program yang kita adakan! Syabas anak-anak peserta program Kem MUDA dan Bengkel Remaja Islam dari Miri dan Bintulu diatas kejayaan menganjurkan program kebajikan! Tahniah di atas iniatif mengumpul sendiri dana untuk program-program yang dijalankan!

Begitu juga mentee PEWARIS dan peserta Kursus Asas Latihan Kefasilitatorn yang lain yang telah menganjurkan program-program diperingkat sekolah dan kampong masing-masing...teruskan usaha, insya'Allah, kita tetap sedia membantu...Saya percaya anak-anak yang menjalankan program ini merasa kebahgiaan bila dapat menabur bakti kepada teman-teman...itulah antara makna dan pengalaman kebahgiaan sebenarnya....

Saya percaya, jika lebih jauh kita dapat berjalan di bumi Sarawak ini, lebih ramai anak-anak yang boleh kita temui dan bantu, insya'Allah, tidak mustahil kita boleh mencorak satu lapisan generasi muda Islam yang berkebolehan! Kecemerlangan generasi pelapis akan dapat diwujudkan apabila golongan muda ini memahami akan pentingnya erti kehidupan mereka sebagai kelompok yang akan meneruskan nasib agama, bangsa dan negara pada masa akan datang. Mendekati anak-anak muda ini dapat saya rasai betapa mereka dahagakan perhatian dan bimbingan, ini kerana remaja belum lagi mempunyai kematangan jiwa dan kemantapan berfikir yang menyebabkan mereka ini tidak mampu membentengi diri mereka, apatah lagi pada usia remaja sememangnya mereka mempunyai sifat cepat berubah dan mudah meniru apa yang dianggap baru! Bimbingan, contoh dan tunjuk ajar yang berterusan, dan tidak jemu-jemu, penting diberikan kerana generasi muda lah yang akan meneruskan kestabilan suatu negara, bangsa dan agama!

Terima kasih anak-anak yang setia berjuang..Shams, Naim, Khairul atas persediaan module, Siti Nurbaya, Sh. Sophia, Suhada, Ruzanna, Faisal, Andy, Bob Syameer dan Ahmad atas bakti sebagai fasilitator! Semoga redha dan ganjaran pahala dari Allah swt mengiringi setiap perjuangan....amin...



Tuesday, June 9, 2009

Kursus Pandangan Hidup Islam Siri 7 - 13 Jun 2009

Sila klik poster untuk mendapatkan imej yang lebih jelas. Jom sertai majlis ilmu!

Thursday, May 7, 2009

Mampukah aku....

Assalamualaikum!


Baru semalam pendedahan tentang permasalah ummah dibentangkan dalam Bengkel Kajian Dapatan Penyelidikan Sosial Masyarakat Islam di Sarawak! Terasa sayu di hati mengingati nasib anak-anak seagama yang seakan masih terbiar dan tidak terbela! Melangkah masuk ke pejabat, aku amat terasa betapa masih asing isu-isu ini di hati mereka-mereka di sekeliling...aku jadi rindu pada masa-masa lalu, ketika aku bekerja dengan NGO yang berpengkalan di kota London, betapa setiap hari akan ada saja sesi perbincangan tidak rasmi kami tentang masalah kemiskinan, sosial, pendidikan, dan lain-lain....aku rindu saat-saat "brain storming" tentang apa yang boleh dilakukan, di mana dana boleh diperolehi, dan bermacam-macam lagi yang dibincangkan...


Aku amati "solution" yang dibuat kami (saya dan teman-teman "orang putih"), bila aku ingat kembali, semua nya bersifat duniawi, yang luaran semata-mata dan tidak menyentuh hati (spiritual), maka bermula dari situ aku dapat mengambil kesimpulan, permasalahan tidak dapat kita selesaikan dengan teori barat semata-mata! Kebosanan remaja tidak dapat kita hilangkan dengan pengisian sementara seperti program-program malam kesenian, nyanyian, sukan, dan sebagainya! Dari situ aku belajar mendekati Allah, membelek-belek Al'Quran, mencari makna dalam tafsir-tafsir Al'Quran dan Hadith..aku percaya, dengan Rahmat dan Bantuan NYA, aku temui jawapan...


Aku kembali ke bumi Kenyalang dengan seribu harapan, dapat membuat sedikit sumbangan dan perubahan! Mula-mula ada kecewa di jiwa, bila mana aku seakan juah dari wadah perjuangan persatuan Islam, tapi Alhamdulillah, akhirnya Allah Kurniakan titik pertemuan...hati ku melonjak kesyukuran..


Tapi hari ini, pagi ini aku merasa sedih kembali, tiada perbincangan tentang penemuan semalam, seolah-olah tiada pengajaran....walaupun bukan satu kesalahan tetapi mengapa seni tari dan nyanyi masih menjadi sajian? Kekhuatiran betapak di hati, takut nanti kehancuran anak muda terjadi melalui pertunjukan, kesenian ataupun kebudayaan. Takut nanti apabila tunas-tunas Muslim ini menjadi tidak berdaya dan jauh daripada ajaran agama, generasi muda akan terus hanyut dalam hiburan yang melekakan.


Kemana hendak kita bawa masa depan anak-anak muda yang keluarga tiada berkemampuan, yang jauh di sana tiada kesempaian maklumat, tiada ICT bertamu, tiada tempat mengadu? Bagaimana hendak kita lahirkan generasi yang disebut dalam Al-Quran sebagai generasi unggul Ulul Albab iaitu generasi yang berfikir, berakal dan bermodal insan tinggi, dalam mendepani perubahan dan tuntutan zaman?


Tidak kah tokoh pemikir Islam dari Pakistan, Iqbal, pernah berkata "jika iman telah lenyap, maka tidak ada lagi rasa aman. Dunia ini tidak bererti jika agama tidak lagi dijunjung. Siapa orang yang hidup tanpa agama maka kehancuran akan menjadi teman setianya."

Iqbal, seorang pujangga Islam yang terkemuka ini juga pernah mengungkapkan, jika anda ingin melihat masyarakat akan datang maka lihat, pandang dan renunglah generasi muda hari ini! Generasi muda ini lah bakal mencetus, mencorak dan seterusnya bakal memimpin generasi yang akan datang. Tanpa mereka, keutuhan dan kesinambungan perjuangan memertabatkan ummah akan tergugat! Kerana itu bukan kah harus mereka diberi peringatan awal agar mereka tidak kehilangan punca dan arah tuju masa hadapan.

Betapa aku merasakan aktiviti/program ke arah penyempurnaan generasi pelapis yang benar-benar cemerlang, berkualiti, inovatif, teguh pendirian, mantap personaliti serta jelas akidahnya kepada Allah SWT harus diperhebatkan. Dalam usaha kita menangani penyakita sosial yang sedang menimpa umat masa kini, adalah penting untuk kita membentuk budaya Islami yang mantap dengan menekankan soal agenda perencanaan yang bijaksana, terancang dan teratur. Ini sejajar dengan peringatan silam yang telah diungkapkan oleh Saidina Ali (k.w.) yang menyebut:


"Kebenaran yang tidak terancang, bisa ditewaskan oleh kebatilan yang terencana"


Wallahua'lam.





Wednesday, April 29, 2009

Tahniah..bermula episod baru dalam kehidupan...

Assalamualaikum!

Alhamdulillah! Tahniah kepada mentees PEWARIS yang telah berjaya memasuki matrix! Infact, tahniah kepada semua pelajar-pelajar yang telah berjaya ke matrix! Maka bermula lah satu episod baru dalam kehidupan sebagai pelajar dan memasuki alam belia! Bagi kebanyakkan anak-anak mungkin ini kali pertama berpisah dengan ibu-bapa, keluarga dan teman-teman rapat. Tentunya ada rasa debaran bercampur kegembiraan.

Sudah semestinya kesyukuran kita panjatkan kepada Allah swt kerana diberi kesempatan untuk melalui satu episod baru dalam kehidupan, tidak lagi anak-anak berada di tahap yang lama, ia itu alam sekolah menengah. Percaya lah, pengalaman sebegini, jika kita gunakan dengan sebaik mungkin, amat bermakna, penuh suka, ada duka, tetapi akhirnya, bila kejayaan kita kecapi dengan berlandaskan iman, susah untuk dinyatakan dengan kata-kata rasa bahagia.

Selagi ada peluang untuk menimba ilmu dan menggapai kejayaan, rebut lah dan gunakan lah kurniaan waktu yang Allah berikan dengan sebaik mungkin, jangan ada penyesalan yang tidak dapat diperbaiki dimasa hadapan. Elak lah daripada bersahabat atau berkawan dengan mereka yang kurang baik akhlaknya. Seorang penyair sufi, Syeikh al-Busythy telah berkata yang bermaksud:

Sesungguhnya kehancuran dan kehinaan itu berpunca daripada pergaulan bebas. Oleh itu tinggalkan pergaulan tersebut dan hiduplah sebagai orang-orang yang terpandang, terhormat dan mulia!

Gunakanlah usia muda dan masa yang ada dengan sebaik mungkin...jadi lah generasi pewaris yang berilmu, beramal dan berakhlak Islamiyah serta berteknologi canggih, semoga nanti Allah swt akan menganugerahkan ummah ini kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagian!

Untuk akhir, ingin saya kongsikan kata-kata YBhg. Prof. Dr. Sidek Baba (Cikgu Sidek) sebagai pedoman kita bersama:

"Apabila ilmu teradun dalam tunjangan akidah yang mantap, tegak atas ibadah yang subur, mendahan dan meranting dalam cabang-cabang ilmu yang berkembang, pasti akan lahir akhlak yang terpuji. Sebagai khalifah Allah melihat ilmu adalah suatu amanah mengenai Tuhannya dan ilmu sebagai sumber menjadikan manusia sebagai hamba yang taat dan patuh."

Monday, April 6, 2009

KURSUS PANDANGAN HIDUP ISLAM SIRI 5

KURSUS PANDANGAN HIDUP ISLAM
"HAKIKAT DAN SIFAT INSAN"
Bersama Penceramah:
YBhg. Encik Roslan Jelani
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri
11 April 2009 (Sabtu)
8.30 pagi - 12.30 tengahari
Dewan Syarahan YADIM, Bangunan Shahnur, Jalan Astana, Kuching.
Semua di jemput hadir.

Thursday, April 2, 2009

Sebuyau di jejaki....

Assalamualaikum,
Sebuyau atau Sebuyo...akhirnya Bengkel Keselamatan Diri Remaja berlabuh di kampong yang penduduk nya amat ramah. Terasa seakan sudah lama berkenalan. Ada beberapa orang yang memang sudah dikenali melalui PPWS! Normala datang menyambut dengan senyuman yang tetap manis dan mesra....sesampai di sana, hidangan tengahari sudah tersedia, lumayan sekali.....
Semangat anak-anak peserta amat ku kagumi dan kesediaan mereka tinggal bersama-sama kami di surau amat ku hargai walaupun rumah hanya seminit perjalanan dari surau, tapi mereka rela tidor bertilam dan berbantalkan lantai! Dapat berjumpa kembali dengan beberapa peserta yang telah mengikuti Kembara Hijrah 2008 amat mengembirakan aku, apatah lagi kerelaan mereka mengikuti program kali ini. Aku benar-benar berasa syukur di hati bila melihat kemahuan mereka untuk mengubah diri, mencari ilmu dan merencana kehidupan masa hadapan.
Anak-anak Sebuyo aku dapati rata-rata menghargai masa, sementara menunggu keputusan SPM ada yang mengikuti kelas jahitan di Giat Mara! Bila keputusan diterima, ada yang memohon memasuki IPT, Maktab dan sebagai nya. Yang lain, ingin meneruskan kursus jahitan untuk mempertingkatkan kebolehan! Bila diberitahu peluang untuk berniaga dan mengambil kursus perniagaan, mereka menanam cita-cita untuk mengubah nasib keluarga dengan menjadikan jahitan sebagai satu perniagaan! Begitu positif anak-anak Sebuyo!
Dengan bimbingan yang berterusan aku yakin anak-anak muda ini akan menjadi muslimah yang sejati dan dapat berbakti kepada keluarga dan masyarakat. Di wajah-wajah mereka ada cahaya harapan, ada keyakinan...
Sekembali ke Kuching aku membaca kembali pandangan mereka tentang program ini, dan aku kongsi beberapa luahan hati di sini...
"Pada pendapat saya program sebegini sangat baik dan harus diperluaskan lagi, kerana remaja dewasa ini ketandusan program-program yang boleh membantu mereka menjadi lebih baik"
"Program seperti ini dapat membuka mata dan memberi ruang untuk saya muhasabah diri serta meningkatkan keyakinan alam diri. Mengingatkan saya tentang asal-usul serta kepada siapa harus saya berbakti"
"Mengajar keperibadian dan sahsiah siapa diri sebenar. Memberi dan dapat membuka mata anak-anak muda yang kini buta ditelan zaman yang semakin moden..."
"Program ini memberi saya erti kesedaran mengenali tentang kehidupan, matlamat dan menuju jalan yang diredha. Dapat menambah ilmu saya untuk mengenali tentang agama..."
Maha Suci Allah yang memberi petunjuk dan jalan! Semoga anak-anak ini senantiasa dalam Rahmat NYA...
Terima kasih kepada Shamsiah kerana bersedia senantiasa menjadi tenaga penggerak Bengkel, atas segala imput kepada anak-anak! Kepada Maria dan Sophia di atas kesudian sebagai fasilitator. Kepada Sidek kerana membawa kita ke Sebuyo! Kepada ahli-ahli PPWS di Sebuyo di atas layanan dan makanan yang amat nyaman!!!
Semoga Allah SWT membalas segala bantuan dengan rahmat yang belebihan dan berterusan!

Monday, March 23, 2009

Mentee SMK Bako, Tahniah..

Assalamualaikum,

Terkilan juga rasa di hati kerana tidak dapat mengikuti sebahagian besar program Citra Muslimah mentee SMK Bako! Tapi tahniah di atas usaha sulong anak-anak, dan terima kasih kepada Siti Nurbaya (mentor) kerana membimbing dan bersama-sama anak-anak sepanjang program.
Saya percaya kejayaan mengadakan progam sulong ini akan menjida penggerak untuk 'berprogram' seterusnya, insya'Allah. Semakin selalu kita berusaha semakin ringan jadinya..semoga kita istiqamah dalam usaha mendekati NYA!
Tugas utama anak-anak sebagai pelajar adalah belajar, tetapi ingatlah kejayaan yang hakiki tidak terletak kepada pencapaian akademik semata-mata. Walauppun ilmu dan kemahiran adalah penting bagi mengisi peluang-peluang pekerjaan, tetapi sikap, mentaliti dan tingkah laku positif adalah lebih penting supaya kualiti diri kita sendiri menjadi pemangkin ke arah proses kemajuan dan perubahan! Anak-anak muda yang membina kualiti diri hari ini, insya'Allah, mampu menjadi agen perubahan dan kemajuan ummah di masa hadapan!
Akhir nya saya petik kata-kata YBhg. Prof. Dr. Sidek Baba:
"Apabila ilmu teradun dalam tunjangan akidah yang mantap, tegak atas ibadah yang subur, mendahan dan meranting dalam cabang-cabang ilmu yang berkembang, pasti akan lahir akhlak yang terpuji. Sebagai Khalifah ALLAH, melihat ilmu adalah suatu amanah mengenai TUHANnya dan ilmu sebagai sumber menjadikan manusia sebagai hamba yang taat dan patuh"
(Acuan Minda - Prof. Dr. Sidek Baba)

Friday, March 20, 2009

Pengalaman Baru Yang Satu Dalam Seribu...

Assalamualaikum,

Tiga bulan berlalu untuk 2009, tetapi rasanya belum banyak yang dapat dilakukan...bila dibilang jari ini, tinggal 9 bulan lagi untuk dimanfaatkan...
Terima kasih kepada anak-anak yang telah berjaya menjalankan program-program pada 3 bulan pertama ini, tampa kalian rasanya tidak akan kemana-mana diri ini!

Walau bagaimana pun, rasa Syukur yang tidak dapat dinukilkan dengan kata-kata atas rahmatNYa, awal tahun 2009/1430H ini, dapat aku pengalaman baru, yang belum pernah ada kesempatan sebelum ini..aku dapat hadir mendengar kuliah seorang ulama dan paling mengembirakan (dan aku anggap satu kejayaan besar sepanjang mengendalikan program untuk anak-anak remaja/belia) apabila hadir nya Syeikh Muhammad Fuad ke Kem Belia Islam sempena Maulidur Rasul dan menyampaikan kuliah subuh kepada kami di Kem itu! Kuliah subuh pagi itu amat bermakna dan baru aku memahami dengan erti kata yang sebenarnya betapa Rasulullah s.a.w. menyayangi dan memuliakan anak-anak muda...bagaimana pula kita?

Kebangkitan Islam yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. adalah kerana Baginda telah berjaya menghasilkan suatu generasi yang cemerlang berasaskan pembangunan akidah yang mantap, akhlak yang tinggi, ibadahnya yang subur dan pematuhan kepada faktor syarak yang teguh. Membimbing anak-anak muda untuk berjiwa rukuk dan sujud penting supaya jiwa hamba mampu mencegah mereka dari melakukan kemungkaran.

Mengambil daripada tulisan guru yang aku sanjungi, cikgu Sidek Baba, "Roh solat apabila menjadi sandaran dalam kehidupan menyebabkan manusia ingin fokus dalam kerja (khusyuk), mempunyai daya kepimpinan dan kepengikutan yang baik (imam dan makmum), berdiri atas saf-saf yang tersusun rapi (daya saing yang tinggi), terbina jiwa jemaah yang baik (kerja berpasukan) dan mohon keampunan dan barakah dari-NYA (muhasabah dan natijah kerja yang berkualiti)".

Aku benar-benar mengharapkan segala susunan program yang dijalankan (dan terima kasih kepada anak-anak yang membantu mengatur modul, Naim, Shams dan Khairul serta mentor dan fasilitator yang tetap membantu)dapat membantu anak-anak peserta program kearah kebaikkan dan dapat menjana jiwa mereka dengan kekuatan Islam agar mampu memberi mereka erti hidup dan perjuangan, erti maruah dan keberanian, erti perubahan dan kemajuan dan mampu mengolah kemajuan dalam landasan Islam.

Moga tidak diri ini lalai lalu membiarkan anak-anak berbudaya santai kerana berbudaya santai boleh menjadi penghalang terhadap pertumbuhan ilmu dan intelektualisme. Budaya ilmu tidak akan lahir dan akhirnya budaya santai boleh menyebabkan ketandusan berfikir dan juga kemuflisan daya intelek...maka dimana kita pada tahun 2020? Dapatkah kita membentuk khaira' ummah ketika itu dengan sajian-sajian festival dan pesta yang dihidangkan pada mereka ketika ini?

Harapan ku agar permulaan yang baik pada 2009/1430H ini dengan dapat bertemu seorang ulama akan berterusan dikurniakan Allah kebaikkan, insya'Allah. Pengalaman ini amat bermakna bagi diri ku dan pada usia yang lewat ini, aku terasa amat kerdil dengan kurniaan Allah dalam melalui kehidupan ini!

Berdiri ku tidak begitu jauh di belakang Syeikh Fuad ketika bersujud dia membesarkan dan menghormati 'rumah' Allah (di masjid AtTaqwa)hati ku sayu dalam kegembiraan, air mata mengalir dalam kesyukuran...aku bertanya di dalam hati, entah bagaimana pula kalau yang dekat dengan ku itu Baginda Rasulullah? (tetapi aku bertanya jua di dalam hati, layak kah aku berada dekat dengan Baginda? Terlalu kerdil rasa nya diri). Maka faham aku mengapa terlalu sayu dan senang menangis menghadap makam Baginda...

Mendengar kuliah subuh daripada Syeikh Fuad pagi itu, alangkah manisnya kalau usia ku semuda anak-anak remaja! Kerana anak-anak remaja/belia adalah dalam usia ummat yang sangat Rasulullah sayangi dan usia penuh keberkatan, kalau saja anak-anak mengatahui...

Bagi ku sambutan Maulidur Rasul kali ini satu pengalaman yang satu dalam seribu....terima kasih Naim kerana mengatur kedatangan Syeikh Fuad! Kepada Shamsiah, terima kasih kerana senantiasa menjadi teman dan memberikan kekuatan, Khairul di atas hulur fikiran, dan anak-anak yang lain di atas segala sumbangan...semoga tetap dalam Rahmat NYA! Amin.

Monday, January 12, 2009

Palestine - Dalam Ingatan dan Doa..


Allah Maha Besar!

Janji Allah Itu Benar...

Teguhkan lah Iman Anak-Anak Ku Sayang

Seteguh Iman dan Keberanian Anak-Anak Palaestine

Dalam Tangisan, Dalam Kecaman..

Tetap tegak berdiri Menentang Kezaliman..

Jangan mudah mengalah, jangan mudah menyerah..

Di bumi nan aman ini...

Tiada daya aku menghulur tangan..

Mendakap, menyampai rasa sayang...

Tapi cuma doa teiring dalam setiap ingatan...

Buat anak-anak Palestine yang tetap dalam kenangan!


Ampang

12.1.09

Tuesday, January 6, 2009

Salam Maah Hijrah 1430H

Assalamualaikum!

Hampir terlupa saya ada blog...blame it on age! Tetapi rasa nya masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat tahun baru, 1430H/2009M. Alhamdulillah, 1429H membawa banyak kenangan yang manis dan pengalaman yang baru...semoga tahun ini Allah berikan kekuatan untuk kita semua bagi membolehkan kita meneruskan perjuangan!
Terima kasih yang teramat sangat kepada Naim, Khairul dan Shamsiah untuk segala input yang diberikan pada tahun lepas, semoga senantiasa dalam rahmat Nya! Dan doa senantiasa mengiringi setiap ingatan semoga anak-anak Allah berikan kekuatan, kebijaksanaan dan kejayaan pada tahun ini dan kita akan terus meneruskan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang!
Kepada anak-anak fasilitator yang lain, jutaan terima kasih diucapkan, Allah jua yang memberi balasan dan rahmat Nya pada setiap pertolongan yang diberi! Terima kasih. Insya'Allah, laporan program dan Kembara Hijrah akan menyusul...
Untuk anak-anak yang menyertai program sepanjang tahun lepas, tahniah dan insya'Allah, kita akan berjumpa lagi. Bagi anak-anak PEWARIS, tahun ini anak-anak berpeluang menjalankan program-program yang telah anak-anak rancangkan...teruskan mencuba, sesungguhnya kejayaan itu datang kepada mereka yang berani mencuba! Dan setiap usaha iringkan dengan berdoa kepada Allah swt. Dengan itu jangan lupa solat 5 waktu.....
Bagi yang menunggu keputusan SPM, gunakan masa cuti dengan sebaik mungkin dan ini peluang anak-anak mempelajari banyak perkara yang berguna, atau cari hobby...atau paling baik pertingkatkan bacaan.....dan anak-anak PEWARIS yang menunggu keputusan, time to create programs, dan insya'Allah, auntie tetap memberi sokongan!
Yang baru dapat result PMR, tahniah pada yang berjaya dengan cemerlang....yang lain ingat lah masih ada hari-hari mendatang untuk memperbaiki diri dan SPM menunggu....
Untuk diri sendiri, insya'Allah, antara azam baru, update blog selalu....akhir sekali untuk anak-anak diluar sana ingatlah:
Masa Muda Adalah Kesempatan Yang Paling Tepat Untuk Membentuk Karakter atau Keperibadian!
Wassalam.