Thursday, April 2, 2009

Sebuyau di jejaki....

Assalamualaikum,
Sebuyau atau Sebuyo...akhirnya Bengkel Keselamatan Diri Remaja berlabuh di kampong yang penduduk nya amat ramah. Terasa seakan sudah lama berkenalan. Ada beberapa orang yang memang sudah dikenali melalui PPWS! Normala datang menyambut dengan senyuman yang tetap manis dan mesra....sesampai di sana, hidangan tengahari sudah tersedia, lumayan sekali.....
Semangat anak-anak peserta amat ku kagumi dan kesediaan mereka tinggal bersama-sama kami di surau amat ku hargai walaupun rumah hanya seminit perjalanan dari surau, tapi mereka rela tidor bertilam dan berbantalkan lantai! Dapat berjumpa kembali dengan beberapa peserta yang telah mengikuti Kembara Hijrah 2008 amat mengembirakan aku, apatah lagi kerelaan mereka mengikuti program kali ini. Aku benar-benar berasa syukur di hati bila melihat kemahuan mereka untuk mengubah diri, mencari ilmu dan merencana kehidupan masa hadapan.
Anak-anak Sebuyo aku dapati rata-rata menghargai masa, sementara menunggu keputusan SPM ada yang mengikuti kelas jahitan di Giat Mara! Bila keputusan diterima, ada yang memohon memasuki IPT, Maktab dan sebagai nya. Yang lain, ingin meneruskan kursus jahitan untuk mempertingkatkan kebolehan! Bila diberitahu peluang untuk berniaga dan mengambil kursus perniagaan, mereka menanam cita-cita untuk mengubah nasib keluarga dengan menjadikan jahitan sebagai satu perniagaan! Begitu positif anak-anak Sebuyo!
Dengan bimbingan yang berterusan aku yakin anak-anak muda ini akan menjadi muslimah yang sejati dan dapat berbakti kepada keluarga dan masyarakat. Di wajah-wajah mereka ada cahaya harapan, ada keyakinan...
Sekembali ke Kuching aku membaca kembali pandangan mereka tentang program ini, dan aku kongsi beberapa luahan hati di sini...
"Pada pendapat saya program sebegini sangat baik dan harus diperluaskan lagi, kerana remaja dewasa ini ketandusan program-program yang boleh membantu mereka menjadi lebih baik"
"Program seperti ini dapat membuka mata dan memberi ruang untuk saya muhasabah diri serta meningkatkan keyakinan alam diri. Mengingatkan saya tentang asal-usul serta kepada siapa harus saya berbakti"
"Mengajar keperibadian dan sahsiah siapa diri sebenar. Memberi dan dapat membuka mata anak-anak muda yang kini buta ditelan zaman yang semakin moden..."
"Program ini memberi saya erti kesedaran mengenali tentang kehidupan, matlamat dan menuju jalan yang diredha. Dapat menambah ilmu saya untuk mengenali tentang agama..."
Maha Suci Allah yang memberi petunjuk dan jalan! Semoga anak-anak ini senantiasa dalam Rahmat NYA...
Terima kasih kepada Shamsiah kerana bersedia senantiasa menjadi tenaga penggerak Bengkel, atas segala imput kepada anak-anak! Kepada Maria dan Sophia di atas kesudian sebagai fasilitator. Kepada Sidek kerana membawa kita ke Sebuyo! Kepada ahli-ahli PPWS di Sebuyo di atas layanan dan makanan yang amat nyaman!!!
Semoga Allah SWT membalas segala bantuan dengan rahmat yang belebihan dan berterusan!

No comments: