Thursday, June 18, 2009

Hari-hari yang penuh makna....

Assalamualaikum,

Dengan membaca Bismillah, Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah swt atas segala taufik dan hidayah-Nya. Selawat dan salam semoga tetap tercurahkan kepada sayyidil anam Muhammad Rasulullah saw yang telah membina akhlak umat ini sehingga dapat menjadi yang mulia. Demikian pula mudah-mudahan Allah berkenan memberikan rahmat kepada semua keluarga beliau, sahabat-sahabatnya dan tabiin serta salafussalihin. Amin.

Sepanjang bulan Mei dan hingga minggu kedua bulan Jun, hari-hari saya, Alhamdulillah, dipenuhi dengan pelbagai program yang merangkumi semua peringkat umur dan lapisan masyarakat, ada rasa penat tetapi tetap terubat bila mana dapat bersama-sama belajar sesuatu yang baru dalam setiap program....mungkin itu juga yang dinamakan bila meningkat usia, meningkat juga lah asam garam kehidupan yang disaksikan....

Banyak juga 'berjalan' keluar Kuching pada bulan Mei lalu...di setiap perjalanan terdetik hati terasa gusar dan cemas mendapat tahu di mana-mana masalah remaja seakan sama dan amat kronik...anak-anak remaja memang dikenali dengan sifat-sifat kenakalan mereka, tetapi zaman ini kenakalan remaja sudah seakan-akan membawa kehakisan bilangan generasi muda yang berkualiti! Rasanya tidak perlu dihuraikan disini satu persatu gejala sosial yang menjular sekarang ini! Sebelum semuanya membawa kehancuran generasi pelapis, perhatian serius perlu diberikan segera oleh pelbagai pihak - orang tua, pendidik, guru, tokoh agama, institusi-institusi pendidikan dan kerajaan - masing-masing harus mempertingkatkan peranan tersendiri dan bersapadu dalam upaya membina dan membentuk generasi muda sebagai angkatan baru yang bertamadun tinggi, berakhlak dan berjiwa mulia.

Walau bagaimana pun disetiap akhhir program rasa gusar terasa terubat jua dengan semangat dan azam yang ditunjukkan anak-anak muda peserta yang ingin terus mengubah langkah, bukan sahaja untuk diri mereka, tetapi sahabat-sahabat yang lain yang tidak berkesempatan ikut serta berprogram. Sesungguhnya terharu melihat keperhatinan dan ingatan mereka kepada teman-teman yang tidak turut serta...saya percaya, jika terus diberi bimbingan dan digilap keupayaan mereka semua, pasti mereka boleh menjadi generasi harapan...betapa di hati ini ingin melihat lebih ramai belia-belia Islam yang boleh ikut serta memberi bimbingan agar dapat bergerak cepat ke seluruh Sarawak..meneroka daerah baru disamping ada yang terus boleh memberi bimbingan kepada mantan peserta-peserta yang sedia ada! Mereka masih terlalu awal diambang perubahan untuk terus dibiarkan begitu sahaja selepas satu program...

Hati juga gembira mendengar khabar ada anak-anak yang mengatur langkah mengambil iniatif membuat program sendiri selepas mengikuti program-program yang kita adakan! Syabas anak-anak peserta program Kem MUDA dan Bengkel Remaja Islam dari Miri dan Bintulu diatas kejayaan menganjurkan program kebajikan! Tahniah di atas iniatif mengumpul sendiri dana untuk program-program yang dijalankan!

Begitu juga mentee PEWARIS dan peserta Kursus Asas Latihan Kefasilitatorn yang lain yang telah menganjurkan program-program diperingkat sekolah dan kampong masing-masing...teruskan usaha, insya'Allah, kita tetap sedia membantu...Saya percaya anak-anak yang menjalankan program ini merasa kebahgiaan bila dapat menabur bakti kepada teman-teman...itulah antara makna dan pengalaman kebahgiaan sebenarnya....

Saya percaya, jika lebih jauh kita dapat berjalan di bumi Sarawak ini, lebih ramai anak-anak yang boleh kita temui dan bantu, insya'Allah, tidak mustahil kita boleh mencorak satu lapisan generasi muda Islam yang berkebolehan! Kecemerlangan generasi pelapis akan dapat diwujudkan apabila golongan muda ini memahami akan pentingnya erti kehidupan mereka sebagai kelompok yang akan meneruskan nasib agama, bangsa dan negara pada masa akan datang. Mendekati anak-anak muda ini dapat saya rasai betapa mereka dahagakan perhatian dan bimbingan, ini kerana remaja belum lagi mempunyai kematangan jiwa dan kemantapan berfikir yang menyebabkan mereka ini tidak mampu membentengi diri mereka, apatah lagi pada usia remaja sememangnya mereka mempunyai sifat cepat berubah dan mudah meniru apa yang dianggap baru! Bimbingan, contoh dan tunjuk ajar yang berterusan, dan tidak jemu-jemu, penting diberikan kerana generasi muda lah yang akan meneruskan kestabilan suatu negara, bangsa dan agama!

Terima kasih anak-anak yang setia berjuang..Shams, Naim, Khairul atas persediaan module, Siti Nurbaya, Sh. Sophia, Suhada, Ruzanna, Faisal, Andy, Bob Syameer dan Ahmad atas bakti sebagai fasilitator! Semoga redha dan ganjaran pahala dari Allah swt mengiringi setiap perjuangan....amin...



1 comment:

Zaimah Hadanan said...

Tahniah dan syabaz buat anda sekalian kerana mengatur langkah untuk membangun umat islam lebih maju dalan pelbagai bidang.